Jumaat, 25 Mei 2012

MESEJ PERPADUAN : SIMBOLIK HIMPUNAN JUTAAN BELIA 2012



PUTRAJAYA, 25 Mei 2012 - Riak kegembiraan jelas terpancar di wajah puluhan ribu golongan belia yang hadir pada hari kedua Himpunan Jutaan Belia 2012, di pusat pentadbiran kerajaan di Putrajaya, semalam.

Rata-rata yang ditemui melahirkan rasa puas hati dengan kepelbagaian program dan segmen yang disediakan pada tahun ini. 

Namun begitu, suatu mesej yang simbolik disampaikan melalui temubual yang dijalankan amat bertepatan dengan program pembangunan modal insan yang dijalankan oleh kerajaan dalam memupuk keharmonian dikalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini. 

Mohd Khairi Ramli, 25, memberitahu para belia seharusnya mengambil peluang keemasan untuk bersatu dan memupuk perpaduan yang lebih erat selain dari menikmati pelbagai aktiviti yang sedang berjalan.
Begitu juga dengan Azura Abidin, 26, yang pertama kali menghadiri Himpunan Jutaan Belia 2012 yang sedang berlangsung. 

Beliau turut mempunyai pandangan yang sama seperti Mohd Khairi Ramli agar belia yang hadir tidak segan silu untuk bercampur dan bergaul dalam memupuk keharmonian disamping berharap himpunan kali mencapai sasaran dua juta belia.

"Saya dapat  rasakan perhimpunan kali ini lebih meriah dan yakin sasaran untuk mencapai 2 juta belia akan tercapai. Tunggulah pada hari kemuncaknya nanti," katanya. 

 Ramesh, 19, yakin perhimpunan kali ini lebih meriah jika dibandingkan dengan perhimpunan tahun lalu kerana lebih banyak program dan aktiviti yang disediakan untuk golongan belia.

Beliau turut memberitahu Hari Belia yang disambut ini jelas melambangkan tidak ada semangat perkauman yang wujud kerana para belia saling bersama dan berpeluang mengenali di antara satu sama yang lain.
"Memang ada di antara masyarakat berbilang bangsa yang kurang berinteraksi dan perhimpunan belia seharusnya dijadikan platform untuk merapatkan jurang ini. 

"Saya berharap lebih ramai para belia dari msyarakat India dan Cina datang untuk bersama-sama memeriahkan perhimpunan ini," katanya. 

Mohd Zamri Yaakub, 50, berkata Himpunan Jutaan Belia 2012 yang diadakan berjaya menyatupadukan masyarakat berbilang kaum melalui pemerhatian beliau sepanjang seharian disini.

Beliau menzahirkan rasa bangga dengan usaha kerajaan yang berjaya melahirkan suatu program untuk golongan belia untuk beriadah, penuh pengisian disamping mengubah pandangan negatif masyarakat terhadap belia. 

"Saya akui program yang diadakan sekali setiap tahun ini bagus untuk para belia kita," katanya yang mengakhiri perbualan.

0 Comments:

 

blogger templates 3 columns | Make Money Online