PUTRAJAYA, 26 Mei – Golongan belia masa kini lebih matang dalam
membuat penilaian dalam memilih pucuk kepimpinan terbaik yang mampu memberi
pembaharuan bagi menjamin masa depan mereka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Tun Razak berkata, belia semakin bijak memilih pihak mana yang lebih layak
memikul tanggungjawab memimpin negara ini.
“ Belia yang sentiasa berada
dibelakang kerajaan bukanlah atas dasar paksaan, tetapi mereka sendiri bijak
membuat pilihan (memilih kerajaan),”katanya ketika berucap pada Majlis
Pelancaran Hari Belia Negara 2012 di sini hari ini.
Menurut Najib, kejayaan negara bukan
sahaja boleh diukur dengan adanya bangunan yang berdiri megah, malah ia dapat
diukur dengan nilai kemasyarakatan.
“Golongan belia yang mempunyai nilai
kemasyarakatan yang tinggi adalah belia yang berhimpun secara aman, melontarkan
rasa cintakan keamanan negara, beradab serta menghormati undang- undang negara
dan bukan menjadi belia yang suka melakukan keganasan,” katanya disertai dengan
sorakan para belia.
Majlis perasmian tersebut turut
dihadiri isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Belia dan Sukan,
Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohamed
Maliki Mohamed Rapiee.
Pada majlis yang sama, beliau telah
menyampaikan anugerah kepada penerima Anugerah Perdana Belia Negara sempena
Himpunan Jutaan Belia tahun ini.
Tambah beliau, sasaran kementerian
tercapai apabila berjaya menghimpunkan lebih kurang dua juta belia dari seluruh
negeri.
“Tahun lepas kita telah mencapai
sasaran seramai sejuta belia dan tahun ini menterinya (Datuk Ahmad Shabery
Cheek) telah berjaya menyahut cabaran saya apabila berjaya mencapai sasaran
seramai dua juta belia,” katanya.
Selain itu, Najib turut berkata tema
Hari Belia Negara 2012 iaitu ‘Jadilah Esok Lebih Baik Dari Hari Ini’ amat
bersesuaian kerana dari semasa ke semasa pihak kerajaan telah berjaya membawa
pembaharuan dan pembangunan yang lebih baik kepada rakyat Malaysia.
0 Comments:
Post a Comment